Anggota bomba yang cedera, Yunuslie Julius dibantu pegawai perubatan di lokasi kejadian di kilang pemetik api di Seksyen 22, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto JBPM Selangor
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Anggota bomba cedera ketika operasi padam kebakaran

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang anggota bomba cedera selepas simen konkrit jatuh menimpanya ketika sedang memadamkan kebakaran sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 di sini petang semalam.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kejadian pada jam 4.45 petang itu menyebabkan Yunuslie Julius, 28, cedera di bahagian tengkuk.

“Sewaktu operasi Yunuslie di tingkat bawah dan simen konkrit sebesar dua batu bata jatuh atas topi keledarnya.

“Pegawai perubatan yang ada di lokasi merawat mangsa sebelum dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. Mangsa dalam keadaan sedar,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Norazam berkata kilang tiga tingkat berkenaan musnah 70 peratus selepas terbakar kira-kira jam 3 petang.

“Anggota seramai 26 orang termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.

“Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan. Siasatan lanjut termasuk punca dan kerugian masih disiasat,” katanya.


Pengarang :