Dua kereta dihempap pokok di persimpangan Politeknik Shah Alam, Seksyen 13 susulan hujan lebat dan angin kencang pada 27 Januari 2022. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
AGENDANASIONAL

Angin kencang, 10 kereta rosak dihempap pokok, bumbung parkir

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 10 kereta rosak dihempap pokok dan bumbung parkir susulan hujan lebat serta ribut dalam dua kejadian berasingan di Seksyen 13, di sini kira-kira jam 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kejadian berlaku di Jalan Subang berdekatan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kawasan parkir pasar raya Giant.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian pertama di Jalan Subang dan mendapati dua kenderaan dihempap pokok tumbang.

“Namun, tiada mangsa cedera dan mereka keluar sebelum ketibaan bomba. Pihak bomba sedang giat melakukan pemotongan pokok dan laluan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai runtuhan bumbung di kawasan parkir pasar raya di Seksyen 13.

“Berdasarkan maklumat awal, sebanyak lapan kenderaan orang awam yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya

Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung parkir di Pasar Raya Giant Seksyen 13, Shah Alam tercabut. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor

Pengarang :