Selangorkini
Persembahan tarian oleh kumpulan Dua Space Dance Theatre bakal menjadi salah satu program istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Kim
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Angpau RM10,000 menanti pemenang pertandingan ucapan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 21 JAN: Orang ramai tanpa mengira kaum berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif dalam siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata ucapan Tahun Baharu Cina itu boleh ditulis dalam pelbagai bahasa bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.

“Pengacara program akan memaklumkan waktu penonton boleh menghantar ucapan, sebanyak tiga slot disediakan untuk memenangi angpau berjumlah RM10,000 keseluruhan.

“Siaran langsung disiarkan di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari @ami.mbselangor dan Facebook saya Teng Chang Khim pada jam 9 malam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Chang Khim berkata program kebudayaan istimewa sepanjang siaran langsung berkenaan akan menampilkan seniman dari tiga generasi dari zaman 70-an hingga kini.

Jelasnya, antaranya nyanyian lagu klasik oleh kumpulan Dua Sekawan dianggotai Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck dan tarian singa dipersembahkan Persatuan Tarian Singa Hong Jing.

Beliau berkata, pelancaran lagu sempena perayaan Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Salam Tahun Baru’ hasil ciptaan Kam Leong juga akan dibuat pada program itu.

“Video lagu tersebut dirakam di Kampung Baru Jenjarom, Kuala Langat,” katanya.


Pengarang :