Anggota Polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak meninjau lokasi tanah runtuh di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Anjur pelbagai aktiviti, ceriakan mangsa di pusat pemindahan

SHAH ALAM, 16 JAN: Pelbagai aktiviti dijalankan bagi menceriakan penghuni Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Gombak sejak Disember tahun lepas.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata banyak pihak tampil menyantuni 38 keluarga yang dijangka tinggal di PPS selama dua bulan susulan insiden tanah runtuh di tebing apartment tersebut.

“Kita mahu pastikan mereka kekal bersemangat dan ceria terutama kanak-kanak. Antara aktiviti dijalankan seperti melukis, mewarna, bermain karom dengan peserta memperoleh hadiah. Kita juga menyediakan bahan bacaan kepada mereka.

“Pusat khidmat masyarakat, Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) terbabit dalam menyantuni mangsa dengan pelbagai aktiviti,” katanya kepada SelangorKini.

Sebanyak 38 keluarga di Apartmen Teratai dipindahkan ke PPS pada 30 Disember susulan tebing berhampiran kediaman itu runtuh akibat hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata apartmen berkenaan antara enam lokasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kritikal dan perlu pembaikan segera.

Beliau juga memaklumkan kerja pemulihan kekal tebing di Apartment Teratai itu dijangka mengambil masa dua bulan untuk siap.


Pengarang :