Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 1 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar desak menteri jelaskan pinjaman RM2.5 bilion kepada Genting HK

SHAH ALAM, 27 JAN: Menteri kewangan didesak menjelaskan pinjaman US$600 juta (RM2.51 bilion) tanpa jaminan kepada syarikat kapal persiaran Genting Hong Kong yang sudah muflis.

“Saya mendesak menteri kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong,” kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal bagaimana tiga bank utama di Malaysia, yang dimiliki syarikat pelaburan penting kerajaan, boleh memberi pinjaman “dengan sebegitu mudah”.

Beliau menuntut Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bagaimana pinjaman tersebut akan dibayar syarikat kapal persiaran itu.

“Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” katanya kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar merujuk skandal kewangan di Hong Kong yang membabitkan RM2.5 bilion pada 1982. Berita itu menggemparkan negara berikutan juruaudit Jalil Ibrahim dibunuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Maybank Berhad menafikan kewangannya terjejas akibat kemuflisan Genting Hong Kong, sementara RHB Bank pula menegaskan ia memiliki kecairan dan modal yang cukup.


Pengarang :