Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 25 Disember 2021. Foto Facebook ANWAR IBRAHIM
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan tambah bantuan banjir RM5,000 hingga RM10,000

SHAH ALAM, 4 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menaikkan bantuan mangsa banjir kepada RM5,000 hingga RM10,000 dengan segera.

Ketua pembangkang itu berkata semua mangsa banjir dalam keadaan derita dan terdesak kerana menanggung kerugian besar akibat kejadian itu.

“Apabila kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka mereka dengan ini harus berikan bantuan segera antara RM5,000 ke RM10,000 setiap orang mengikut keadaan serta kesan kerugian yang dialami akibat bencana ini.

“Usah tambah beban rakyat dengan kerenah birokrasi yang melampau yang hanya melambatkan proses menyalurkan bantuan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap kerajaan dapat mencari jalan bagi membantu rakyat terutama ketika berdepan krisis seperti ketika ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.


Pengarang :