Salah seorang atlet memanah menjalani latihan untuk persediaan SUKMA Johor 2020. Foto Skuad Mamanah Selangor
AGENDASUKANKINI

Atlet Sukma Selangor sertai beberapa siri kejohanan pemanas badan

SHAH ALAM, 18 JAN: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Selangor menyertai beberapa siri kejohanan pemanas badan sebelum ke temasya terbesar tanah air yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kejohanan bermula 7 Januari lalu hingga 26 Mac depan membabitkan acara memanah, angkat berat, tinju, boling, sepak takraw, ragbi dan skuasy.

“Pertandingan yang sedang dan bakal disertai dalam tempoh terdekat ini menjadi medan terbaik untuk kita menilai sejauh mana prestasi semasa atlet sekali gus mencari ruang memperbaiki setiap kelemahan.

“Justeru, kita berharap agar atlet dapat memanfaatkan kejohanan ini sebaiknya dengan menampilkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati atlet supaya menjalani latihan secara berterusan bagi memantapkan stamina di samping mengekalkan kemahiran sedia ada.

“Pada masa sama, atlet juga diingatkan menjaga tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak dijangkiti Covid-19 kerana dikhuatiri menjejaskan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Oktober tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan Sukma 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan ke 2024.

Bagaimanapun, KBS bersetuju supaya MSN menganjurkan temasya dwitahunan di Kuala Lumpur tahun ini, namun tiada sebarang pengumuman berhubung tarikh tepat setakat ini.

Berikut beberapa siri kejohanan disertai atlet Selangor:

1. Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan
– 8 hingga 13 Februari di Kompleks Sukan MPKJ Bangi

2. Kejohanan Angkat Berat Jemputan
– 10 hingga 12 Februari di Ipoh, Perak

3. Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan Kebangsaan
– 21 hingga 27 Februari di Ipoh, Perak

4. Kejohanan Lawn Bowls Classic Triples
– 9 hingga 13 Februari di Ipoh, Perak

5. Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kuala Lumpur
– 4 hingga 6 Februari di Kuala Lumpur

6. Liga Sepak Takraw
– 7 Januari hingga 26 Mac di Stadium Titiwangsa, Ipoh, Pulau Pinang dan Kelantan

7. Liga Ragbi KRS
– 15 Januari hingga 19 Mac di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

8. CIMB Foundation Skuasy 17th National Junior Championship
– 24 hingga 28 Februari di Bukit Jalil, Kuala Lumpur


Pengarang :