Setiausaha Agung BAM Dato’ Kenny Goh bercakap kepada media selepas sidang media Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

BAM jamin hantar pemain terbaik hadapi kejohanan badminton Asia

SUBANG JAYA, 27 JAN: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia memanggil pemain profesional ke dalam skuad kebangsaan sekiranya perlu dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bermula 15 Februari depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Kenny Goh berkata BAM akan melihat secara menyeluruh dan berbincang untuk meletakkan pemain terbaik berdasarkan beberapa faktor termasuk sumbangan dan taktikal.

“Kita akan lihat pemain sedia ada termasuk dalam dan luar BAM. Namun, kita akan beri prestasi terbaik dan mahu peminat sukan badminton terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

“Sasaran pada kejohanan kali ini adalah mahu layak secara merit bagi melayakkan skuad kebangsaan ke Piala Thomas dan Uber pada Mei depan,” katanya pada sidang media di BATC 2022 hari ini.

Kenny menjelaskan ketiadaan pasukan China dalam kejohanan pada kali ini bukanlah perkara yang boleh dipandang rendah berikutan majoriti negara mengesahkan penyertaan dalam senarai antara terbaik dunia.

Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 yang berlangsung mulai 15 hingga 20 Februari depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.


Pengarang :