Lee Zii Jia. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BAM pilih Zii Jia sebagai pemain perseorangan pertama hadapi kejohanan badminton Asia

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Juara All England 2021 Lee Zii Jia yang berhadapan krisis dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan telah selesai baru-baru ini, dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bulan depan.

BAM dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong bagi melengkapkan barisan perseorangan negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

BATC 2022 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Feb ini.

Pada kejohanan itu, Malaysia dan sembilan pasukan lain – Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura – akan bersaing untuk mengesahkan tempat automatik mereka dalam final Piala Thomas dan Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.

Dalam pada itu, BAM dalam kenyataan berasingan mengumumkan pemain beregu wanita dan kapten skuad Piala Uber 2020 Lee Meng Yean telah meninggalkan pasukan kebangsaan.

“BAM mengesahkan pemain beregu wanita Lee Meng Yean tidak akan bersama skuad negara berkuat kuasa 29 Jan 2022.

“BAM ingin mengucapkan penghargaan kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Kali terakhir pemain kelahiran Melaka berusia 27 tahun itu membuat penampilan dengan pasukan kebangsaan ialah pada Terbuka Indonesia, November tahun lepas bersama-sama Yap Cheng Wen yang mengakhiri cabaran pada pusingan 16.

Meng Yean juga beraksi pada Olimpik Tokyo 2020 dengan Chow Mei Kuan pada acara beregu wanita sebelum gandingannya itu bersara pada September 2021.

Bersama-sama Mei Kuan, mereka berjaya merangkul pingat perak dan gangsa masing-masing pada Sukan SEA 2017 dan 2019, selain meraih kedudukan ke-10 terbaik dunia pada Mac tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :