Mangsa Banjir, Ahmad Bakhtiar Zainuddin, 32, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit yang di terima di Dewan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Banjir: 800 keluarga di Kampung Lombong terima bantuan kewangan

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 800 keluarga terjejas banjir di Kampung Lombong di sini menerima Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penerima juga turut menerima sumbangan tambahan daripada kerajaan persekutuan iaitu Bantuan Wang Ihsan dengan jumlah yang sama.

“Lebih 1,000 keluarga di Kampung Lombong terkesan dengan bencana ini… bagi mereka yang belum menerima bantuan kita mohon bersabar kerana proses semakan borang mungkin mengambil sedikit masa dan dilaksana secara berperingkat.

“Kita harap dengan sumbangan daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan sedikit sebanyak meringankan beban penerima kerana kita tahu kampung ini merupakan antara yang teruk dilanda banjir pada bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis agihan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :