Selangorkini
Sebahagian mangsa banjir sekitar Panchor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Pagoh, Johor pada 8 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor semakin pulih, tinggal 95 mangsa masih di pusat pemindahan

JOHOR BAHRU, 15 JAN: Jumlah mangsa yang terjejas banjir sejak 1 Jan lepas terus menurun kepada 95 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 271 individu, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata hanya tinggal dua daerah masih terjejas banjir, melibatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat kekal dengan mangsa tertinggi iaitu 83 orang diikuti Tangkak 12 orang.

“Muar telah pulih daripada banjir sepenuhnya semalam apabila PPS terakhir di daerah itu Balai Raya Kampung Jawa telah ditutup petang semalam, selain Sekolah Agama Buloh Kasap dan Balai Raya Kampung Sanglang di Segamat berikutan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat yang merekodkan tahap waspada dengan trend menaik, diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk daerah terjejas banjir.

— BERNAMA


Pengarang :