Selangorkini
Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Banjir: Kerajaan peruntuk RM50 juta kepada 51 PBT baik pulih kemudahan awam

SHAH ALAM, 8 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan awal RM50 juta kepada 51 pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terjejas banjir di seluruh negara bagi kerja pembaikan kemudahan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peruntukan itu akan meningkat memandangkan masih ada negeri yang banjir belum pulih sepenuhnya.

“Peruntukan awal RM50 juta ini hanya khas untuk pembaikan infrastruktur awam namun angka itu saya tidak boleh letakkan sebagai statik. Ada negeri yang belum lagi (pulih banjir). Segamat di Johor contohnya masih lagi bertakung. Jadi tentulah angka itu akan naik.

“Jadi, mereka (51 PBT) akan maklumkan kepada kita apa perancangan yang akan dilakukan. Cuma, kalau perancangan yang lebih besar dan jangka panjang sama ada dari segi pengairan dan sebagainya itu sudah tentu kena ada perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta sekitar 2,000 sukarelawan.

Reezal Merican berkata KPKT akan mengadakan satu sidang media khas bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) minggu hadapan untuk memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan khususnya berhubung pembaikan serta pembinaan rumah baharu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara tanggungjawab kementerian itu ketika banjir baru-baru ini ialah operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh bomba dan diikuti operasi pembersihan menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama syarikat konsesi pembersihan kerajaan negeri antaranya KDEB Waste Management Sdn Bhd di Selangor.

Reezal Merican berkata lebih 77,000 tan sampah telah diuruskan SWCorp di negeri terjejas banjir iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor setakat semalam (7 Jan).

“Tapi kena ingat ada negeri-negeri yang belum masuk fasa pascabanjir lagi, jadi angka ini akan bersifat dinamik…ia mungkin akan berubah dan meningkat,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM12.5 juta peruntukan tambahan telah disediakan KPKT bagi membolehkan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri terjejas banjir dan lebih RM5 juta diperuntukkan di Selangor.

Terdahulu, Program Mega Pembersihan Pasca Banjir hari ini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan sisa banjir khususnya di longkang tersumbat di Taman Sri Muda yang dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A (padang berhampiran Dewan Kamunting); Zon B (Pusat Kitar Semula Tzu Chi); Zon C (padang Jalan Ceria 25/113) dan Zon D (padang depan Pangsapuri Andora).

– BERNAMA


Pengarang :