EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 20 Januari 2022. Foto Facebook Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir: Pembaikan jalan, tebing di Hulu Langat siap sebulan lagi

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerja baik pulih jalan dan tebing sungai yang rosak sekitar Hulu Langat akibat banjir Disember tahun lalu siap sebulan lagi, kata EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, sebanyak 91 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negeri dengan 62 daripadanya serius dan perlu dibaik pulih segera.

“Insya-Allah, kerja-kerja baik pulih jalan dan tebing sungai sekitar Hulu Langat ini akan siap sepenuhnya dalam jangka masa sebulan lagi.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa berterusan membantu rakyat yang terkesan bencana ini,” katanya selepas meninjau kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat kelmarin.

Beliau menambah Kerajaan Negeri menampung sekitar RM500 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan bah teruk, yang dibuat secara berfasa.

Pada 7 Januari lalu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Projek tersebut dikelolakan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.


Pengarang :