Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat menggunakan bot membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan dan kawasan sekitar Segamat, Johor selepas penduduk terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air pada 7 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir tiga negeri semakin pulih, jumlah mangsa dipindahkan terus menurun

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa bencana alam itu di tiga negeri terus menurun petang ini.

Di Johor, jumlah mangsa yang terjejas banjir terus mencatatkan penurunan kepada 3,770 orang daripada 1,069 keluarga yang masih ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang berbanding 3,872 individu daripada 1,090 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,809 orang, diikuti Muar (1,182), Tangkak (705) dan Batu Pahat (74).

“Terdapat enam PPS telah ditutup hari ini dengan empat daripadanya di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Awat Batu Anam, Sekolah Agama Mukim Jabi, Surau Kampung Lubuk Lanjut dan Balai Raya Kampung Mensudut Pindah selain Sekolah Agama Bukit Gambir dan Sekolah Kebangsaan Sawah Ring di Tangkak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua penduduk agar sentiasa berwaspada berikutan lima sungai mencatatkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 369 orang daripada 99 keluarga petang ini berbanding 389 orang (105 keluarga) pagi tadi dengan kesemuanya berlindung di tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun setakat 4 petang ini dengan 364 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan berbanding 493 individu di 11 PPS pagi tadi.

Selain itu, beberapa jalan masih lagi ditutup antaranya Jalan Triang 1, Jalan Batu Bor di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur, Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan), Jalan Serengkam (Maran) dan Jalan Kota Gelanggi-Lepar Utara (Jerantut).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan aras air di Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi (Bentong) kekal melepasi tahap waspada petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :