Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit Fasa 1 Daerah Petaling di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Shah Alam pada 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan banjir: 34,215 keluarga terima manfaat, peruntukan keseluruhan RM34.323 juta

SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 34,215 keluarga terkesan banjir bulan lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan RM34.323 juta setakat jam 10 pagi tadi.

Menurut infografik dikongsi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sebanyak 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Bagi bantuan RM1,000 kepada keluarga terjejas banjir pula, daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 11,236 isi rumah diikuti Klang (7,376) dan Hulu Langat (6,846).

Bilangan penerima daerah Sepang (3,966), Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,869), Gombak (892), Hulu Selangor (93) dan Sabak Bernam (35).

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 


Pengarang :