Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media khas situasi banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan banjir: RM19.236 juta dibelanja setakat semalam, manfaat 19,182 keluarga

SHAH ALAM, 7 JAN: Sejumlah RM19.236 juta dibelanja untuk meringankan beban mangsa banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memanfaatkan 19,182 keluarga yang menerima bantuan RM1,000 manakala enam keluarga mangsa meninggal dunia masing-masing RM10,000.

“Bantuan ini disampaikan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara atau memilih untuk tinggal di penempatan lain atau berpindah ke rumah keluarga masing-masing.

“Permohonan dibuka sehingga 31 Januari dan diterima di pejabat tanah dan daerah, pusat khidmat masyarakat atau pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata sukarelawan mula bergerak dari rumah ke rumah mangsa banjir bermula hujung minggu ini untuk mencari keluarga belum berdaftar menerima bantuan.

“Setakat ini, enam waris keluarga diberikan sumbangan dan hari ini ada beberapa nama serta senarai dikemas kini dari semasa ke semasa. Petang ini juga ada penyerahan bantuan dan angka yang menerima manfaat terus bertambah,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung Januari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :