Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Norita Mohd Sidek (tengah) bergambar bersama penerima selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Beranang oleh MBI Selangor di Dewan Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang pada 30 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantuan MBI dapat tampung beli perabot rosak akibat banjir

KAJANG, 30 JAN: Bantuan RM300 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dapat menampung perbelanjaan untuk membeli barang rumah yang rosak akibat banjir.

Hayatul Alimuar, 30, berkata beliau bercadang untuk membeli almari atau peti ais kepada ibunya.

“Ibu baru beli almari dan peti ais tetapi apabila banjir habis musnah semuanya. Sampai sekarang ibu tak mahu buang almari walaupun sudah ditumbuhi kulat.

Hayatul Alimur, 30

“Sedih memang sedih tetapi kami reda dengan ujian ini. Terima kasih juga MBI berikan sumbangan yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan ganti barangan rosak,” katanya kepada SelangorKini.

Hayatul ibu kepada tiga anak itu tinggal di kediaman ibu bapanya bersama suami dan empat adik turut berkongsi pengalaman membersihkan rumah pasca banjir yang memakan masa lebih dua minggu.

“Letih sangat sebab banjir lumpur, kali terakhir rumah ibu banjir ketika saya sekolah rendah tetapi itu pun hanya banjir kilat tidak teruk seperti tahun lalu,” katanya.

Mohd Aizam Mohd Yusof, 59

Manakala, Mohd Aizam Mohd Yusof, 59, berkata bantuan berkenaan meringankan beban beliau dan isteri yang hanya tinggal berdua di rumah berkenaan.

“Terima kasih MBI prihatin dengan nasib kami mangsa banjir, mungkin bantuan ini boleh buat tambahan untuk beli perabot yang rosak sama ada almari pakaian atau rak pinggan,” katanya.

Hari ini, seramai 91 keluarga di mukim Beranang yang terjejas banjir 22 November tahun lalu menerima bantuan tunai RM300 daripada MBI.

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau di sini.


Pengarang :