Penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat membersihkan semula kediaman pascabanjir ketika tinjauan pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan negeri ringan beban beli semula perkakas rumah

SHAH ALAM, 9 JAN: Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 untuk mangsa banjir negeri ini meringankan beban mereka bagi membeli semula keperluan rumah.

Pemandu bas K Sankar, 49, yang menerima bantuan itu minggu lalu memanfaatkannya dengan membeli barangan elektrik yang rosak dalam bencana Disember lalu.

“Terima kasih atas bantuan ini yang memudahkan urusan mangsa banjir,” katanya kepada Selangorkini.

V.c Meena, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Peniaga V C Meena, 50, yang menanti giliran untuk menerima bantuan itu menyifatkan keprihatinan Selangor meringankan bebannya sekeluarga bagi membeli perkakas baharu.

“Saya juga berharap ada sedikit bantuan diberikan kepada golongan peniaga kerana hanya ini sumber pendapatan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung Januari ini.


Pengarang :