EXCO Kerajaan Prihatin dan wakil rakyat Kota Kemuning V Ganabatirau bersama Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar (kiri) memilih pakaian untuk diberikan kepada mangsa banjir ketika program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bantuan RM1,000 mangsa banjir DUN Kota Kemuning disegera

SHAH ALAM, 9 JAN: Agihan bantuan RM1,000 untuk mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning termasuk Taman Seri Muda akan disegerakan.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata setakat ini seramai 100 penduduk menerima sumbangan berkenaan manakala baki diagih berperingkat minggu depan.

“DUN saya paling terjejas dalam banjir kali ini dan saya harap permohonan mangsa banjir disegerakan dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau yang ditemui pada Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman di sini menambah pihaknya bersedia menyediakan lokasi bagi mempercepat agihan sumbangan.

“Pihak kuil dan beberapa masjid juga bersetuju untuk menjadikan tempat mereka sebagai lokasi pemberian bantuan,” kata Ganabatirau.

Setakat pagi semalam, seramai 20,086 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 dengan belanja keseluruhan RM20.196 juta.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

 


Pengarang :