Pembuat kavadi, Suguna Devi (kiri) menyiapkan sebuah kavadi bersaiz kecil ketika tinjauan menjelang sambutan Thaipusam di gerainya yang terletak di kawasan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada 16 Januari 2022. Biarpun terkilan kerana perarakan kavadi tidak dibenarkan pada tahun ini namun beliau akur dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Batu Caves mula dikunjungi ramai sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR , 16 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu Selasa ini.

Kebanyakan mereka dilihat membawa ‘Paal Koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.

Malah, tinjauan Bernama seawal 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan, dengan masing-masing dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka, di perkarangan kuil.

Pegawai Informasi Pejabat Batu Caves K Tamilvaani berkata pihaknya menerima pengunjung seawal 12 tengah malam semalam, bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata seperti mana ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan Kod QR Mysejahtera, pengimbas suhu badan serta tag, bagi pengunjung yang membawa ‘Paal Koodam’.

Katanya bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja-kerja sanitasi akan dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang media, hari ini sebelum meninjau sambutan berkenaan berkata situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terlibat dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, kebanyakkan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang, dalam keadaan selesa dan teratur.

Salah seorang pengunjung N Lokizhwaran, 25, berkata beliau lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP yang ketat.

“Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Turut berkongsi rasa yang sama, D Dashieny, 26, berkata kemeriahan itu masih dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan musik dan sebagainya.

“Bagi saya suasana pada kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :