Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhammad menyerahkan angpau serta buah limau kepada orang ramai sempena Tahun Baharu Cina di sekitar Pasar Selayang Baru, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Baucar beli-belah Tahun Baharu Cina manfaatkan 350 warga Sungai Tua 

GOMBAK, 23 JAN: Sebanyak 350 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena perayaan itu bulan depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baucar tersebut boleh ditebus di pasar raya untuk membuat persiapan dan membeli barang keperluan bernilai RM100.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua selepas menyerahkan baucar berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima Ooi Chip Keong, 49, mahu menggunakan baucar terbabit untuk membeli kuih kapit dan limau yang sinonim dengan perayaan tersebut.

“Tahun ini mungkin lebih meriah kerana kerajaan beri banyak kelonggaran, jadi saya buat persediaan beli kuih kapit dan limau untuk makan bersama keluarga nanti,” katanya dari Kampung Laksamana.

Bagi Hon Ah Kiew, 62, pula pemberian itu dapat meringankan beban keluarganya menyediakan keperluan perayaan di sebalik kenaikan harga barang ketika ini.

“Sekarang banyak barang semakin mahal, jadi baucar ini dapat tampung perbelanjaan,” katanya.

 


Pengarang :