Bekas perenang para negara Koh Lee Peng menjana pendapatan sendiri dengan menjual barangan kecil dan kantung tisu untuk menampung kehidupan. Foto Facebook Kelana Putra Muhamad
AGENDASUKANKINI

Bekas atlet para menang tujuh emas tidak harap bantuan, berdikari jual tisu

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Bekas perenang para negara, Koh Lee Peng memberitahu beliau sendiri yang memilih untuk menjual barangan kecil dan kantung tisu supaya dapat hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain sepanjang masa.

Pemenang tujuh pingat emas Sukan Para ASEAN (APG) itu yang bergerak dengan bantuan kerusi roda, turut meminta orang ramai dan netizen supaya mengelak membuat tuduhan tidak berasas tanpa mengetahui cerita sebenar, selain mengakui menerima bantuan daripada beberapa pihak sebelum ini.

“Ada juga menerima tawaran menjadi jurulatih, tetapi saya tidak mahu kerana masa saya sudah berlalu. Saya bukannya terbiar atau tidak ada rumah sendiri, cuma tidak mahu menganggu adik-beradik kerana mereka pun sudah ada keluarga sendiri.

“Saya sudah biasa kerja kilang dan sebagainya, tidak mahu lagi bekerja dengan orang lain, macam mana kalau OKU (orang kurang upaya) sendiri tak faham kesusahan OKU. Saya memang nak buat perniagaan sendiri dan tidak malu dengan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan Bukit Bintang hari ini.

Beliau turut meminta semua pihak supaya tidak menyusahkan beliau dengan berjanji untuk membantunya dan mengambil maklumatnya tetapi janji tinggal janji tanpa sebarang bantuan diberikan, selain berharap tidak dilayan dengan kasar ketika melakukan perniagaan di kawasan tumpuan orang ramai.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker serta Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed melawat dan menyampaikan sedikit bantuan wang tunai dan hamper sempena Tahun Baharu Cina kepada Lee Peng.

Sebelum ini, tular di media sosial dan dilaporkan dalam media bahawa Lee Peng, pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak ketika mewakili negara di APG dari 2001 hingga 2005 terpaksa menjual kantung tisu di kawasan Bukit Bintang demi kelangsungan hidupnya dan kononnya tiada pihak yang membantunya selama ini.

Sementara itu, Ti menjelaskan bahawa Lee Peng menjalankan perniagaannya di ibu negara sambil mengikuti rakannya ke kursus di sebuah syarikat penapis air selama tiga minggu di sini dan bakal pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang esok berikutan kursusnya tamat.

“Beliau ke sini bersama rakannya (yang dikenali sebagai Andrew) untuk mengikuti kursus dan perniagaan ini adalah kemahuan sendiri tanpa mengharapkan simpati daripada orang ramai. Mereka berdua juga memiliki syarikat berdaftar (enterprise) yang cukup untuk membantu lapan lagi OKU di bawahnya.

“Jadi untuk mengatakan kerajaan tidak menolong dan mengambil berat mengenai dirinya adalah tidak benar sama sekali. Kita juga ada bagi peluang dan tawaran kepadanya sebelum ini menerusi YAKEB, namun beliau memilih untuk berdikari sendiri.

Bila isu ini diviralkan, beliau (Lee Peng) tidak gembira dengan situasi ini dan rasa terhina, beliau mengharapkan orang ramai menghormatinya,” kata beliau.

-BERNAMA

 


Pengarang :