Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Biawak hidup

Oleh Regina Ibrahim

Menerima panggilan dari rumah mayat Hospital Pekan Indah, Rahman wajahnya kosong, bak manusia tanpa deria. Berterima kasih pun mendatar suaranya, sangat tidak Melayu. Berita kali ini wajib dikhabarkan kepada isterinya, Zuriah. Diam, berjanji, terangguk-angguk menyakinkan diri bahawa itu akan jadi berita buruk terakhir buat isteri. Rahman dipasung rasa bersalah.

Apa yang tidak dilaluinya saat Anita meningkat remaja? Awalnya disangka hanya tradisi peranan ibu bapa. Cuping telinga kalau boleh luruh, sudah lama terpelanting. Akurlah dia, Anita bagaikan bala dipersila ke ruang hidup. Rangkalah sesalan apa sekalipun, maknanya tidak tepat!

Kenapalah tidak dikurniakan nasib seperti anak gadis biasa? Sesal kian hari, kian bertapuk. Anita tak pernah sembuh, jengkelnya terlalu.

Zuriah bekas kerani, murninya luar dan dalam. Redha memikirkan jodoh sudah disusun Taala. Kerani kahwin Polis, tidaklah janggal. Dugaan berkongsi hidup pasti ada, mereka bukan maksum.

Rahman dan godaan dari gadis-gadis tahanan tanpa permit, tubuh jalang ketika serbuan pusat maksiat, belum lagi cubaan sogok bapa-bapa ayam, menahan rasa bila teman-teman seangkatan naik pangkat satu persatu, dia tak pandai berdrama menjalani tugas.

Zuriah diasak soalan lembut tapi tajam.

“Bila nak mengandung?”

“Ada bidan pandai urut di kampung seberang.”

Bertalu persoalan pihak keluarga bila bertandang hanya kerana Zuriah berperut kempis. Perempuan mandul, hatinya terkilan. Gelar mandul entah milik siapa? Laki atau bini?

Situasi jadi lega sendiri.

Anita yang comel dibawa pulang usai misi rahsia. Tidak diceritakan kepada sesiapa kecuali sang isteri.
Berspekulasilah pula bini-bini polis dalam nada yang lembut -embut tajam.

“Aku syak tu anak pompuan Indo tu…”

“Budak tingkatan lima beranak sengap-sengap rasanya, alah, kes tu minggu lepas…”

“Kau bini polis, aku bini Inspektor, faham sendirilah, macam macam…”

Anita diangkat ikut aturan. Kisahnya begini, polis Pekan Indah mendapat laporan bayi untuk dijual. Tawaran RM800 diterima Inspektor Faridah yang bujang trang-tang-tang. Rahman jadi pembantu, berlakon sebagai suami. Misi bertemu di rumah setinggan kota disusun. Susuk tubuh mereka tidak seperti manusia, ketagihan syabu, entah warganegara apa, mahukan wang semata-mata.

Daif tampilan pasangan.

Duik! duik!… takmo cakap manyak…” ketar suara lelaki di samping Marina yang kurus kering.

“Duit nak beli apa? Ikut, kami bawa berubat di pusat, cakap apa satu tak berbutir,” lancang Inspektor Faridah

“Cik tipu! duik! duik! ni anok, kami nok duik,”

Dunia apa ni? Pasangan bagai binatang, lokasi bersepai busuk mengembur bau bangkai. Faridah bertarbiah sedaya mampu, suasana tegang. Si lelaki mahu bertindak ganas, diangkat pisau entah dari mana mahu menikam si comel bermata bundar. Rahman melepaskan tembakan ke bahu si lalok, meluru gendong si bayi busuk yang entah daripada muntah, entah tahi. Marina badannya bergetar, bibir terkacip memecah botol meluru pada Faridah, tiada pilihan – satu das lagi Rahmah lepaskan, sasarannya tangan namun meledak ke dada.

Itulah hari yang memenatkan.

Thanks Rahman, jangan panik, saya saksi, bukti jelas. Tunggu seminggu, saya bantu. Ni kes penagih tanpa pengenalan, kau pernah dengar hempas pulas keluarga penagih dadah? Zero!” Faridah mereda suasana.
Bayi tanpa asal usul urusannya mudah. Rumah anak yatim kawasan Pekan Indah penuh padat, keputusan dialu-alukan, dibawa pulang menumpang hangat badan Zuriah. Rahman naik pangkat, meminta agar dipindahkan, apa ini tuah dibawa si bayi? Lupakan dahulu, dia tetap akan pulang ke tempat kelahiran mereka.

Berpindah, tidak mahu Anita kecil hati ketika membesar. Hiduplah sebagai keluarga yang lengkap di Kota Menanti dan akhirnya pulang semula bila Anita menjelang remaja.

Mekar sebagai gadis yang cantiknya sederhana, Zuriah fikir kalau hal akademik tidak kemana, asal terjaga tingkah dan budi, perempuan masih berharga. Sayang sekali, Anita menyintai kebebasan, mendakap indahnya lewat malam nan sedap bersama teman.

Tak boleh ditegur, tak mampu dilarang.

Dia berkemampuan menunding pada orang tua, bermulut kasar, kosa kata kalau boleh janganlah didengar, boleh tertusuk jantung. Tiada manisnya. Jiwa Rahman bagai dipagut-pagut mahu bercerita latar belakang daif Anita… bau muntah dan tahi kembali menerpa rongga hidung menyaksi sifat Anita, dia masih tak sanggup. Asal usul orang, apa hak kita? Diungkit sekalipun, mungkin didengar hanya sebagai dongeng.
Jiran tetangga? Tak perlu disoal, mereka bermulut,

“Tu bohsia anak polis!”

“Dia kira apa? Siapa ada punai dia tibai!”

“Huh! Suka sangat la melarang orang… duduk rumah nak buat apa? Mengadap muka tua korang? Aku bukan hamba abdi… ingat tu!” Anita resah menggeletar di suatu hari terpilih, maklumlah terpaksa mungkir janji kepada kekasih yang mahukan wang

“Ni.. top up! Ada korang letak? Korang aku minta duit, kedekut! berkira… memang sial!” telefon bimbit hadiah kekasih dibelai belai.

Berkasih dunianya manis. Merompak diikut sekali, ke lokap petanda cinta abadi. Anita bergenetik sial, agaknya benih syaitan. Barang kemas tak seberapa Zuriah, lesap. Jika ditanya makian bergema.

Dihurung persoalan remeh, kenapa dia tak jadi anak yang merindui sambal tumis, gulai lodeh atau masakan ibu? Jika gila drama Melayu pun tidak apa. Manusia boleh berubah, bukan?

“Nita, esok-esok kalau mak mati, macamana?”

“Mampuslah sensorang… senang, hidup pun menyusahkan orang, penuh halangan, bosan, macam dalam jel, boring!”

“Bukalah sikit hati, bawa-bawa semayang… orang lain elok hidupnya.

“Nih, kasi tau ayah, lain kali takyah jamin, kalau jamin jadi macam ni la… nak kurung orang, nak orang duduk duduk rumah basuh pinggan, tanak nasik? Korang tau tak dunia ni luas tau… aku nak tengok dunia, aku tak puas, babi sungguh otak korang kan?!!”

Lama Anita tidak pulang.

Tidur malam terganggu, tidak pula dikhabarkan pada Rahman. Lelaki itu sudah berkali mencuba. Apa jadinya pada Anita? Makan pakai? Hamba jantan?

Hari itu muncul juga, tidak dinanti, tidak didoa.

Setelah dikhabarkan permergian akibat dos berlebihan bersama teman lelakinya, Zuriah awalnya teresak. Bersimpang siur imejan Anita ketika comel, petah, lucu, sehinggalah hilang sopan, (ugutan mahu tendang, baling senduk, hentak-bentak, baling kain buruk ke muka Zuriah semua tersimpan rapi, Rahman tidak tahu)

Lega? Padan muka? Tamat dugaan? Zuriah tiada perasaan apa apa.

Pagi ini, pagi nan damai semacam.

Nafas dihela perlahan, ruang lohong lega. Rahman menghulur tangan kerdut, mengengam erat jari jemari isteri. Terasa kuat bila 20 jemari panas menyatu. Tanpa kata.

Lama berdiam diri di meja, jemari masih bertaut, deringan telefon hospital masuk lagi…

“Saya setuju, uruslah sebaik mungkin, mak dia tak sihat, dak… dak… angkat saja, takdak, takdak waris, terima kasih na…,” telefon dimatikan, mata tua mereka bertembung.

Pengkebumian diuruskan pihak hospital, tanpa sebarang kehadiran.


Pengarang :