AGENDANASIONAL

Caj RM1 transaksi ATM antara bank mulai esok

SHAH ALAM, 31 JAN: Mulai esok caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dikuat kuasa semula kepada pelanggan.

Beberapa bank antaranya Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC memuat naik notis itu di platform media sosial masing-masing pada pertengahan Disember lalu, lapor portal Berita Harian.

Menerusi makluman di media sosial, Maybank menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” demikian menurut bank itu.

Menurut CIMB, “Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.”

Menurut makluman Bank Islam pula, “Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam.”

Pada 6 April 2020 kerajaan mengecualikan caj bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan wang tunai menerusi ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

 


Pengarang :