Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian perlindungan lengkap (PPE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan naik 15,000 kes sehari jika tidak tangguh umrah

SHAH ALAM, 6 JAN: Jangkitan Covid-19 dalam negara boleh melonjak kepada lebih 15,000 kes sehari pada Januari dan Februari jika kerajaan tidak menangguhkan sementara ibadah umrah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penangguhan tersebut meredakan penularan varian Omicron yang kebanyakannya melibatkan jemaah pulang dari Arab Saudi sekali gus mengelak sistem kesihatan negara lumpuh.

“Setakat ini, kita dapati jangkitan Omicron tidak seteruk Delta, tetapi apabila kes naik sampai 30,000 kes, walaupun pesakit hanya kategori 1 dan 2, kemasukan ke hospital akan meningkat.

“Sistem kesihatan kita baru saja nak pulih, berdasarkan kepada data setakat 30 September 2021, ada 57,355 kes tertunggak di hospital dengan 53,785 ialah berdasarkan kes pembedahan manakala 3,570 lagi ialah kes rawatan perubatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan pemulihan perkhidmatan kesihatan awam terjejas sekiranya gelombang Omicron tidak dibendung terutamanya apabila mula menular dalam kalangan petugas barisan hadapan.

 

 


Pengarang :