Petugas mebungkus makanan untuk mangsa banjir sekitar Klang dan Shah Alam. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dapur Ehsan agih 14,000 pek makanan kepada mangsa bah

SHAH ALAM, 3 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan kira-kira 14,000 bungkusan makanan sepanjang 12 hari program Dapur Ehsan berlangsung, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata makanan diagih kepada mangsa banjir yang tinggal sekitar Seri Muda, Padang Jawa dan Puchong termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Program bermula dari 20 hingga 31 Disember melibatkan kos melebihi RM30,000. Sehari kita sediakan sehingga 1,500 pek makanan.

Petugas membuat persiapan mengagih makanan untuk mangsa banjir sekitar Klang dan Shah Alam. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS

“Langkah ini dapat meringankan beban mangsa banjir memandangkan hampir semua kelengkapan rumah mereka hanyut. Jadi kita bantu sediakan makanan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelasnya program berkenaan menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk wang ringgit, peralatan memasak dan barangan basah.

“Antara penyumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Permodalan Negeri Selangor Berhad, peniaga Pasar Borong Selangor dan individu persendirian.

“Kerja memasak turut dibantu kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Pusat Wanita Berdaya Lembah Jaya dan Sungai Tua,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta GLC tampil menyumbang dalam program berkenaan supaya lebih ramai mangsa banjir menerima bantuan makanan.

Petugas membuat persiapan mengagih makanan untuk mangsa banjir sekitar Klang dan Shah Alam. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS

Pengarang :