Mohd Hazeli Hamdan memeriksa ayam golek dimasak di restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

Dari bilik papan lapis ke restoran, ayam golek bawa limpahan rezeki

Oleh NAZLI IBRAHIM
Foto HAFIZ OTHMAN

TERIK matahari cukup terasa pada siang hari. Bahangnya sampai ke malam. Jika hujan, airnya menitik di celahan zink lalu membasahi lantai bilik kedai peniaga ayam golek Mohd Hazeli Hamdan.

Adakala rembesan hujan masuk ke bilik yang didiaminya bersama isteri dan dua anaknya di Kampung Tengah, Puchong. Sejuknya menggigit ke tulang.

Bilik kecil itu disewa peniaga berusia 49 tahun sejak 2016 bagi memudahkan beliau bersama isteri, Suhana Abdullah, 42, menjual ayam golek di ruang niaga yang hanya dipisahkan papan lapis.

Mujur anak lain bersekolah asrama. Hanya yang berusia setahun dan enam tahun tinggal bersama. Kalau tidak, sendat umpama sardin dalam tin.

Jualan pula ala kadar. Cuma dua hingga tiga ekor ayam terjual sehari. Sekadar lepas belanja harian sekeluarga.

Berkat kesabaran dan kegigihan, jualan bertambah sedikit demi sedikit. Setahun kemudian, perniagaan ayam golek Ana Corner milik mereka kian maju. Bahkan, saiz kedai lebih besar dan selesa.

Jualan pula antara 60 ke 70 ekor sehari. Selain itu, nasi campur dengan 70 pilihan lauk untuk pelanggan sama ada untuk dibawa pulang atau menjamu di kedai. Justeru, kedai mereka sentiasa penuh pelanggan terutama untuk makan tengah hari.

Mohd Hazeli kemudian melangkah setapak lagi membesarkan operasi dengan membuka cawangan baharu di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

Pelanggan menikmati pelbagai juadah terutama ayam golek disajikan restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jualan RM1,000 sehari

Sebenarnya, Mohd Hazeli mula berniaga dengan permulaan modal tidak sampai RM1,000. Dari bilik papan lapis, beliau perlahan-lahan menambah menu jualan.

Selain ayam golek, juadah dipelbagai dengan aneka jenis minuman, nasi, daging bakar dan lauk-pauk kampung. Khidmat penghantaran juga disediakan.

Beliau memperoleh jualan mencecah RM500 sehari. Kadang kala hampir RM1,000 sehari. Meski perniagaannya mendapat sambutan, Mohd Hazeli senantiasa beringat dengan mengasingkan hasil jualan untuk simpanan.

Mohd Hazeli tidak mahu melabur semua simpanannya, sebaliknya menyertai skim pinjaman Yayasan Hijrah Selangor bagi mengembangkan perniagaan. Mulanya beliau membuat pinjaman RM5,000 pada 2017 untuk menambah peralatan antaranya pengukus nasi dan perabot.

Dua tahun kemudian, Mohd Hazeli memberanikan diri menyewa tapak lebih besar, tidak jauh dari tempat asalnya berniaga berbekal wang simpanan.

“Saya sewa tapak tidak jauh dari kedai lama dan buat kedai makan. Lebih RM50,000 juga saya keluarkan modal untuk tapak dan buat kedai sahaja tidak termasuk beli peralatan seperti meja, kerusi dan lain-lain,” katanya kepada Selangorkini pada 9 Disember 2021.

Kedai makan Ana Corner yang menyediakan pilihan beraneka lauk-pauk lazat menjadi ‘umpan’ untuk pelanggan bertandang menikmati hidangan tengah hari.

Selepas berpindah ke kedai baharu pada 2019, beliau sekali lagi membuat pinjaman berjumlah RM20,000 bagi membeli peralatan di kedai baharu.

Pengusaha Ana Corner Mohd Hazeli Hamdan (kanan) melayan pelanggan di restorannya di Kampung Tengah, Puchong ketika tinjauan SelangorKini pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Petua niaga

Mohd Hazeli berkongsi antara cabarannya ialah memastikan kedai makannya perlu selalu dalam keadaan bersih dan menu yang disediakan pula harus menepati selera pelanggan.

“Dalam berniaga kena tahan tekanan dan jangan patah semangat. Biasalah orang berniaga keluar banyak modal tetapi kalau tidak boleh jual memang tertekan.

“Bila tidak tahan tekanan kadang kala suami isteri boleh bergaduh, putus asa, mahu berhenti berniaga dan bermacam lagi sebab itulah penting mengawal tekanan,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana Suhana bukan sahaja memahami keadaan, malah turut menjadi tulang belakang dalam perniagaannya.

Mohd Hazeli juga berkongsi tips kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan supaya lebih realistik dengan fokus kepada matlamat jangka pendek terlebih dahulu.

“Kalau mahu mula berniaga, jangan fikir terus mahu besar. Ikut kemampuan modal, cukuplah kecil dahulu dengan satu atau dua menu atau produk yang kita pandai.

“Kalau terlalu banyak susah hendak bermula dan apabila susah hendak mula nanti kita langsung tidak bermula. Apabila sudah bermula barulah fikir tambah menu lain daripada tidak bermula langsung,” katanya.

Restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong yang menyediakan sajian istimewa ayam golek. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :