Selangorkini
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat pada sidang media sempena program latihan Transportable Mobile Radio (TMR) di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Tumpat pada 11 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Doktor, tiga individu ditahan bantu siasatan pengeluaran kad vaksin palsu

KOTA BHARU, 18 JAN: Polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di sini dan tiga individu bagi membantu siasatan penipuan pengeluaran kad vaksinasi Covid-19 palsu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata doktor lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga pemilik klinik tersebut ditahan semalam manakala tiga individu yang merupakan penerima vaksin pula ditahan pada Ahad lepas hasil serbuan di klinik tersebut.

“Keempat-empat mereka telah dibebas dengan jaminan polis namun siasatan lanjut mengenai kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafien berkata serbuan di klinik tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu, Ahad lepas.

Beliau berkata berdasarkan laporan tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menerima empat aduan daripada sumber berbeza mengenai pengeluaran kad vaksinasi palsu oleh klinik berkenaan antara 1 Oktober lepas dan 11 Januari lepas.

Katanya, hasil semakan lanjut mendapati empat individu yang dikatakan menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.

“Selain penahanan doktor itu, polis turut merampas kad vaksinasi dan lain-lain dokumen berkaitan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kad vaksinasi palsu diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :