Penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat membersihkan semula kediaman pascabanjir ketika tinjauan pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dokumen rasmi dampak banjir 50 daerah dikeluar minggu depan

JITRA, 20 JAN: Dokumen rasmi laporan khas impak banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Pahang bulan lepas akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) minggu hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata buat masa ini, bancian berkaitan bencana tersebut sudah di peringkat akhir sebelum satu dokumen rasmi diserahkan kepada kerajaan dan menjadi rujukan awam.

Katanya, sebelum ini dapatan awal penilaian kerugian akibat banjir yang berlaku di 50 daerah di negara ini dianggarkan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion yang dijalankan seminggu selepas kejadian banjir luar biasa itu berlaku.

Daripada jumlah itu, kerugian membabitkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah tertinggi iaitu RM2 bilion, manakala kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.3 bilion hingga RM1.4 bilion, kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion, pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion), premis perniagaan (RM500 juta hingga RM600 juta) dan pertanian (RM40.9 juta hingga RM49.9 juta).

“Inilah tindakan proaktif Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membantu negara mengetahui kesan kemusnahan banjir yang turut dijalankan bersama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat dalam mendaftarkan mangsa banjir dan yang menyalurkan bantuan.

“Angka-angka ini juga kita jadikan sebagai asas anggaran nilai yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika ditemui pada program DOSH bersama komuniti di Kampung Wang Tepus di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, menerusi laporan tersebut ia akan dapat membantu kerajaan merancang dan membaik pulih kerosakan yang dialami serta menyediakan peruntukan sewajarnya untuk mempercepatkan pembaikan kemudahan infrastruktur awam yang penting seperti jalan raya.

-BERNAMA


Pengarang :