Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze dan ahli jawatankuasa surau menunjukkan awning yang siap dipasang di Surau Al-Mutaqqun USJ 12 pada 13 Januari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya peruntuk hampir RM20,000 pasang ‘awning’ surau, beri keselesaan kariah

SUBANG JAYA, 13 JAN : Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk RM19,986 bagi memasang awning (sengkuap) di Surau Al-Mutaqqun USJ 12 di sini.

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata projek kecil yang bermula sejak 24 Mei hingga 7 Jun tahun lalu adalah permohonan daripada pihak jawatankuasa surau terbabit.

“Pemasangan awning sudah lama siap tetapi kehadiran kami tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka memohon awning kerana lantai surau dipenuhi air jika hujan.

“Kita pasang awning sepanjang 17 meter dan lebar dua meter.  Apabila cuaca panas kariah juga boleh berteduh. Kita harap inisiatif kecil ini beri keselesaan kariah,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di sini hari ini.

Michelle turut menjelaskan mana-mana komuniti yang mahukan projek kecil dilaksanakan di kawasan mereka boleh memohon menerusi pusat khidmat masyarakat DUN Subang Jaya.

Selain itu, Pengerusi Surau Al-Muttaqun USJ12 Dr Khazali Mohd Zin turut berterima kasih kepada ahli dewan negeri Subang Jaya kerana sudi membantu menaik taraf surau ini.

“Alhamdulillah, pada mulanya tidak sangka permohonan kami diterima dan mendapat sokongan daripada pihak ADN. Prosesnya amat mudah dan akhirnya terlaksana juga, terima kasih,” katanya.


Pengarang :