Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONALPENDAPATRENCANA

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang hingga 6.5 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Ekonomi Malaysia pada 2022 dijangka berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan jabatan itu, Tinjauan Ekonomi 2022 (Kementerian Kewangan) melaporkan dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka berkembang dengan menyumbang lebih 80 peratus kepada ekonomi.

“Normalisasi aktiviti ekonomi didorong oleh pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh bakal merancakkan subsektor perdagangan borong dan runcit serta aktiviti berkaitan pelancongan domestik.

“Unjuran sektor pembuatan juga adalah sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan daripada industri berorientasikan eksport yang semakin pulih,” katanya.

Laporan itu menyebut secara keseluruhannya, unjuran pertumbuhan ekonomi adalah berdasarkan kepada pengembangan berterusan aktiviti ekonomi global dan domestik didorong oleh kadar vaksinasi yang pantas di sebalik kerugian akibat banjir besar pada penghujung 2021.

“Namun, pemulihan permintaan domestik dijangka berterusan pada 2022 diterajui oleh penggunaan swasta berikutan pasaran buruh dan sentimen pengguna yang semakin beransur-ansur pulih.

“Permintaan luar yang kukuh terutamanya produk elektrik & elektronik (E&E) dan komoditi utama dijangka menyokong lonjakan eksport,” katanya.


Pengarang :