Setelah teruk dilanda banjir, perniagaan bengkel motosikal kembali beroperasi ketika tinjauan dilakukan di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONALPENDAPATRENCANA

Ekonomi negara diramal pulih, harap pintu sempadan dibuka

Ekonomi Malaysia dijangka pulih selepas menguncup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan lantaran pandemik Covid-19.

Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada 12 November 2021 percaya momentum ekonomi tahun ini bakal didorong pemulihan aktiviti ekonomi, kerancakan pasaran tenaga kerja, penerusan dasar kerajaan yang menyokong ekonomi dan peningkatan permintaan dari luar.

Kadar vaksinasi, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan dan kemampuan mengekang rebakan varian Omicron menjadi kunci penting kebangkitan ekonomi Malaysia.

Agensi penarafan kredit RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka kadar pertumbuhan ekonomi negara 6.8 peratus pada 2022 berbanding kadar sebenar pada 2021 iaitu empat peratus.

Namun, RAM Ratings pada 9 Disember 2021 menegaskan ancaman varian tersebut mungkin melambatkan proses pemulihan tetapi tidak pula merencatkan ekonomi negara secara keseluruhan.

Kementerian Kewangan pula meramal pertumbuhan tahun ini antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus. Peningkatan perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pandemik yang terkawal dan peningkatan sentimen peruncitan dan kepenggunaan akan memacu ekonomi.

Usaha memulihkan ekonomi diperkukuh dasar fiskal kerajaan persekutuan yang membentang belanjawan bernilai RM332.1 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara.

Sebanyak RM233.5 bilion diperuntuk bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk pembangunan dan RM23 bilion pula bagi Kumpulan Wang Covid-19 manakala RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Di sebalik ruang fiskal yang terhad dengan hutang kerajaan diunjur mencecah RM1.1 trilion atau 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022, perdana menteri memaklumkan Bajet 2022 tidak boleh dikurangkan pada paras minimum.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan persekutuan mengambil kira semua aspek dan keadaan kewangan negara serta rakyat yang bergelut pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam ehwal ekonomi pula merujuk prestasi sektor minyak dan gas yang memberangsangkan mutakhir ini menyuntik keyakinan bahawa ekonomi negara berada pada landasan tepat untuk bangkit.

Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 13 Disember 2021 juga mendapati aktiviti dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian turut meningkat selain data semasa dalam aspek penawaran termasuk sektor pembuatan, pertanian dan perlombongan menunjukkan bukti peningkatan.

Semua petunjuk memberi indikator kepada pemulihan yang baik pada 2022. Namun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap penutupan sementara sempadan negara yang boleh menyukarkan pemulihan sepenuhnya.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia pula menjelaskan beberapa perkara memberi prospek ekonomi lebih baik untuk 2022, antaranya Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pelaksanaan dasar itu mampu mengawal harga barangan lebih tuntas dan boleh mengelakkan kenaikan harga makanan dan keperluan pada masa depan serta tidak mengganggu prospek pemulihan ekonomi.

Beliau juga menyifatkan cadangan Ismail Sabri untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebagai berita baik untuk ekonomi Malaysia.

Projek bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Menara Merdeka 118 yang dijangka siap tahun depan juga dijangka meningkatkan nilai pelaburan dan sentimen positif pelaburan serta perniagaan di Malaysia.

 


Pengarang :