Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak risiko jangkitan, KKM sasar vaksin 4.1 juta kanak-kanak

SHAH ALAM, 23 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan seramai 4.1 juta kanak-kanak menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada ancaman Covid-19.

Timbalan menteri kesihatan berkata usaha itu susulan pergerakan bebas ibu bapa termasuk bercuti dan merentasi negeri sedangkan anak-anak belum divaksin, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, walaupun kanak-kanak berisiko rendah dijangkiti, namun ada antara mereka bergejala teruk dan dimasukkan ke hospital.

“Berdasarkan data dari Januari 2020 hingga kini, seramai 579,000 remaja dan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dengan 299,000 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun.

“Daripada jumlah itu, seramai 144 remaja bawah usia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia, dengan 33 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KKM akan melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun mulai Februari ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan berikutan mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.


Pengarang :