Kerja memasang cerucuk kepingan giat dijalankan di lokasi tanah mendap Jalan LP 1A/2, Lestari Perdana, Seri Kembangan pada 26 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: 25 cerun berisiko dibaik pulih, elak kes tanah runtuh berulang

SHAH ALAM, 27 JAN: Cerun berisiko tinggi di negeri ini akan dibaik pulih bagi mengelak insiden tanah runtuh atau mendap berulang dalam tempoh jangka panjang, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata hasil perbincangan bersama Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mendapati 25 kawasan di Gombak dan Hulu Langat dikenal pasti antara berisiko untuk berlaku kejadian tersebut.

“Peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana Seri Kembangan baru-baru ini walaupun tidak melibatkan kawasan yang tinggi tetap menjadi perhatian untuk kita mengambil langkah jangka masa panjang.

“Justeru, selain menangani masalah di Seri Kembangan, kita turut memastikan masalah sama tidak berlaku di kawasan lain di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini.

Mengulas kejadian tanah mendap di Seri Kembangan, Izham berkata pihaknya turut mengarahkan Majlis Bandaraya Subang Jaya menyiapkan segera cerucuk bagi mengelak insiden lebih bahaya.

“Saya turut meminta pihak IKRAM membuat siasatan keadaan tanah yang tidak stabil di situ. Selepas mendapat maklumat kita mungkin akan membangunkan longkang monsun besar di kawasan tersebut.

“Saya yakin ada pergerakan air di bawah tanah menyebabkan ia menjadi longgar dan berlaku runtuhan,” katanya lagi.

Kelmarin, sebanyak lima kenderaan terjunam ke longkang besar susulan mendapan tanah di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana.

Insiden sama pernah berlaku pada 2017, iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.


Pengarang :