Penganut Hindu berkumpul menjalankan upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Penganut Hindu patuh SOP rai Thaipusam di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JAN: Penganut Hindu kekal berdisiplin dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak hari ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata anggota polis, penguat kuasa dan sukarelawan ditempatkan di lokasi sejak awal pagi bagi memastikan tiada pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung.

“Keseluruhannya, masyarakat Hindu terima baik SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mereka memakai pelitup muka, menyukat suhu badan selain mengawal penjarakan fizikal bagi mengelak dijangkiti Covid-19 atau dikenakan tindakan.

“Walaupun sambutan agak lengang tetapi paling penting mereka berpeluang menunaikan nazar,” katanya selepas meninjau upacara keagamaan itu bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Ganabatirau berkata pihaknya juga tidak mengesan mana-mana peniaga kecil menjalankan perniagaan di kawasan dalam atau luar kuil terbabit.

“Kerajaan memang tidak benarkan sebarang jenis perniagaan atau program yang boleh menarik perhatian bagi mengelak tumpuan masyarakat. Jadi, hari ini saya tidak nampak gerai jualan di dalam atau luar kuil,” kata Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (dua, kiri) bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (kanan) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan (kiri) di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan 4,000 bakul makanan akan diedarkan bagi meringankan beban masyarakat Hindu membabitkan perbelanjaan hampir RM200,000.

Menurutnya, agihan melalui Ketua Komuniti India dibuat mulai minggu depan dengan menumpukan kawasan terjejas banjir pada akhir tahun lalu.


Pengarang :