Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Faktor iklim elemen penting rancang masa depan negeri

SHAH ALAM, 2 JAN: Faktor perubahan iklim akan menjadi elemen penting dalam sebarang perancangan masa hadapan negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dipertimbang berikutan banjir besar melanda beberapa kawasan negeri baru-baru ini.

“Bencana banjir 2021 ini seharusnya menjadi asbab untuk kita melakukan suatu anjakan paradigma. Acap kali ditegaskan bahawa perubahan iklim merupakan suatu cabaran besar buat kita semua.

“Mengambil iktibar daripada pelbagai faktor ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan perubahan iklim (climate change) sebagai salah satu elemen penting dalam sebarang perancangan di masa hadapan,”katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2021.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Kawasan Taman Sri Muda di sini antara yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, seramai 14 orang dilaporkan meninggal dunia setakat 22 Disember manakala, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

 


Pengarang :