Skuad Harimau Malaya melawan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura pada 12 Disember 2021. Foto Facebook PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA
AGENDASUKANKINI

FAM tubuh badan siasatan bebas, cari punca kegagalan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, bakal dilaksanakan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Penubuhan badan siasatan bebas itu, diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan itu terdiri, daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,” katanya.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya pada Isnin lalu dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukannya.

Namun, segelintir penyokong dan pengkritik mendesak supaya pihak pengurusan FAM juga mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut, yang didakwa kerana kelemahan FAM dalam merancang dan mempersiapkan pasukan dengan baik.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :