Petugas KDEBWM membersihkan longgokan sampah pascabanjir sekitar Klang pada 24 Disember 2021. Foto Twitter KDEBWM
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Fasa dua tumpu bersih parit tersumbat, selesai dalam tiga bulan

SHAH ALAM, 14 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan tempoh pembersihan fasa kedua di kawasan terjejas banjir negeri selesai dalam tiga bulan.

Pengarah urusannya berkata kerja yang dimulakan sejak 8 Januari menumpukan kutipan sisa sampah dan pembersihan longkang serta parit yang tersumbat.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan kira-kira 3,000 tan sampah dibersihkan setiap hari sebelum dihantar ke tiga tapak pelupusan di Jeram, Tanjung 12 dan Dengkil.

“Sampah yang dikutip terus dihantar ke tapak pelupusan dan tidak lagi di stesen pemindahan sementara kerana semuanya telah ditutup,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata seramai 8,000 kakitangan KDEBWM digerakkan ke semua kawasan terjejas banjir bagi fasa kedua termasuk pemandu lori dan pengendali sampah.

Menurut Ramli, pembersihan dibuat secara manual dengan kakitangan mengorek dan menyedut lumpur di longkang antaranya menggunakan Catch Basin Cleaner (CBC).

“Fokus kita ialah membersihkan setiap bahagian belakang dan tepi rumah sehingga selesai serta mengembalikan keadaan kawasan banjir kepada sedia kala,” katanya.

Anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.


Pengarang :