Pekerja kontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan sampah dalam longkang ketika program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Fasa kedua pembersihan pascabanjir lancar, dijangka selesai Mac

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir fasa kedua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual kutipan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menjangkakan operasi sejak 8 Januari itu akan selesai sepenuhnya pada penghujung Mac.

“Di kawasan Taman Seri Muda kita fokuskan kerja pembersihan longkang sedalam 1.5 meter. KDEBWM juga akan mengutip sampah pukal yang masih dikeluarkan penduduk.

“KDEBWM komited mempertingkatkan usaha bagi memastikan tahap perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Bermula 8 Januari KDEBWM melaksanakan pembersihan fasa dua dengan memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pasca banjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya membelanjakan sehingga RM11 juta sepanjang fasa pertama pembersihan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara kawasan terlibat Shah Alam, Hulu Langat, Subang Jaya, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

“Kos termasuk penyewaan jentera tambahan untuk digunakan di Taman Seri Muda, Taman Sri Nanding, Padang Jawa, Meru dan Kampung Bukit Lanchong,” katanya.

KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sehingga 7 Januari lalu sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.


Pengarang :