Perlawanan separuh akhir Liga Super Wanita di Radia Arena Bukit Jelutong pada 17 Januari 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Footsouls, Negeri Sembilan Women’s idam juara sulung Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pemenang separuh akhir Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengimpikan kejuaraan sulung di pentas akhir pada 26 Januari ini.

Ketua Pasukan The Footsouls Gan Lay Pin berkata beliau bangga dengan semangat juang rakan sepasukan sepanjang kejohanan meski mereka terpaksa berjuang hingga penghujung permainan sebelum layak ke peringkat akhir.

“Walau mulanya rentak kami agak perlahan dan mendapat tentangan hebat pasukan lawan, kami bangkit dengan menyusun taktik permainan lebih kemas hingga berjaya ke perlawanan akhir.

“Secara keseluruhannya, saya kagum dengan perkembangan pasukan serta semua pemain wanita yang menyertai liga ini,” katanya kepada Selangorkini.

Lay Pin juga yakin pasukannya akan berusaha keras memberikan cabaran sengit sekalipun menyifatkan pesaingnya Negeri Sembilan Women’s (NSW FC) sebagai pasukan hebat lagi berpengalaman.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong malam tadi, The Footsouls melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Sementara itu, NSW FC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Pengurus pasukan Mohammad Harfat Rusman berkata beliau berharap pasukannya terus mengekal momentum permainan pada perlawanan akhir kelak.

Meski dianggap pilihan juara, beliau berpendirian peluang kedua-dua pasukan terbuka, apatah lagi The Footsouls memiliki barisan pemain berpengalaman.

“Semangat juang dan komitmen tinggi yang ditonjol pemain pada latihan dan perlawanan menunjukkan mereka layak berada di perlawanan akhir.

“Kami tidak memandang rendah akan pihak lawan kerana mereka juga pasti berikan saingan hebat untuk merangkul kejuaraan edisi sulung ini,” katanya.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.


Pengarang :