Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (tengah) bersama kakitangannya di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EKONOMIPERSONALITIRENCANARENCANA

Hampir ranap gara-gara beri hutang, usahawan pes tumis kini popular di Shopee

Termangu-mangu Hashima Hassan, 42 melihat angka hutang pelanggan. Hampir mencecah RM50,000. Malah, ada kalangan penghutang telah pun gulung tikar.

Fikirannya berserabut. Kekurangan modal pusingan gara-gara hutang lapuk menyebabkan perniagaannya sukar meneruskan operasi.

“Bagaimana hendak kutip hutang orang yang muflis?” Usahawan pes tumis itu kebingungan saat dihimpit masalah pada 2018 ketika baru dua tahun berniaga.

Hashima menggagahkan diri mengutip hutang. Cuma sebahagian kecil dapat dipungut. Terlintas juga untuk berhenti niaga. Namun, hasrat itu dibuangnya jauh-jauh berkat sokongan ahli keluarga.

Hasilnya, jenama Shimaz Tumisan Bonda kini diiktiraf antara jualan tertinggi di Shopee pada 2021. Produk tanpa pengawet itu juga dipasarkan di pasar raya Segi Fresh dan Kohijrah.

Selain itu, Hashimah juga mengenal pasti kesilapannya. Lantaran mentah dalam selok-belok perniagaan, ibu empat anak itu mudah lembut hati memberi hutang.

Kerenah beberapa restoran dan penjual yang hutang mereka berpukal-pukal hampir meranapkan perniagaannya.

Mujur suami Khairul Azhar Bahari, 43, yang bekerja dalam bidang komunikasi rela berkorban masa dan tenaga. Berbekal sisa modal, mereka menggandakan pemasaran di media sosial dan Shopee. Perniagaan tersebut bangkit semula.

Beri percuma

Shimaz Tumisan Bonda bermula dengan modal permulaan RM800. Hashima menghasilkan empat jenis pes tumisan segera kari ikan, ikan bakar, nasi goreng dan masak lemak secara kecil-kecilan di rumah.

“Mula-mula susah mahu jual. Saya banyak beri percuma kepada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan tetapi lama-lama ramai yang beli,” kata beliau kepada Selangorkini di kilangnya di Shah Alam baru-baru ini.

Selepas setahun, Hashima menyewa premis berikutan perniagaan kian berkembang. Beliau mendapat kepercayaan pelanggan besar yang mempunyai jenama sendiri dan pengusaha rangkaian restoran. Mereka menjenamakan semula produk Shimaz Tumisan Bonda.

Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (kiri) menunjukkan mesin steril bagi memastikan produk pes keluarannya tahan lama di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesungguhan itu mendapat perhatian Exco Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang membantunya memperoleh mesin steril bernilai RM30,000 pada 2019. Mesin tersebut menjadikan produknya bertahan hingga dua tahun tanpa pengawet.

“Kami tidak guna pengawet supaya lebih sedap. Sebab itulah bila ada mesin steril sangat membantu produk tahan lama,” kata Hashima.

Agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian turut memberi geran untuk membeli kelengkapan mesin memasak dan membungkus.

Jualan melonjak

Perniagaannya kian maju. Beliau sekali lagi berpindah ke premis lebih besar di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Hashima juga meminjam RM5,000 daripada Yayasan Hijrah bagi menambah peralatan di kilang baharu.

Sebuah lagi mesin steril berharga kira-kira RM60,000 dibeli pada April tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 1,200 bungkus pes sehari.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, jualan produknya melonjak sehingga mencecah 11,500 bungkus seminggu.

“Mungkin sebab masa itu orang cuma duduk rumah. Jadi jualan dalam talian melonjak tinggi,” kata Hashima.

Bermula empat jenis produk, jenama Shimaz Tumisan Bonda berkembang kepada 20 produk pelbagai pes tumisan segera.

Beliau juga mampu menggaji sembilan pekerja antaranya golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya, sesuatu yang diazaminya ketika mula berniaga.

 


Pengarang :