Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 5 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN: Kenyataan terburu-buru pegawai kanan SPRM sokong Azam boleh ganggu proses siasatan

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN)  memandang serius tindakan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat kenyataan menyokong ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Majlis presiden beranggapan tindakan terburu-buru menyokong ‘bos’ mereka secara terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap ketua pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Oleh itu pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak polis siasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Pada 9 Januari lalu tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM menyatakan pendirian menyokong Azam yang dipertikaikan ekoran kes pemilikan saham.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme) berpendirian serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Majlis presiden juga mempersoalkan adakah siasatan dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga boleh disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’?

“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” kata kenyataan itu.


Pengarang :