Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) membantu wanita memulakan perniagaan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan. Foto Facebook Hijrah Selangor
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Hijrah tawar tujuh skim bantu usahawan negeri kembang niaga

SHAH ALAM, 18 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mula membuka permohonan tujuh skim pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

Agensi itu memaklumkan pembiayaan di bawah inisiatif peduli rakyat itu boleh dimohon menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login dan maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com.

“Usahawan yang berminat untuk menambah modal perniagaan dengan skim pembiayaan dari Hijrah Selangor boleh memohon,” katanya di Facebook.

Tujuh skim pembiayaan ditawarkan Hijrah itu adalah i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah pada tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari antaranya mengumumkan dana RM120 juta untuk memberikan pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000 bagi mengembangkan perniagaan.

Kerajaan Negeri turut mewujudkan skim pembiayaan i-Agro kepada 2,000 usahawan tani dengan pembiayaan maksimum RM26,000, membina Dataran Hijrah, meningkatkan pinjaman dari RM5,000 kepada RM10,000 untuk program Zero to Hero.

Kerajaan Selangor juga menanggung perbelanjaan RM15 juta bagi moratorium bayaran pinjaman selama dua bulan membabitkan 921 usahawan Hijrah yang terkesan akibat banjir.


Pengarang :