Selangorkini
Stesen LRT Bangsar – lokasi penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki, yang dijadual pada 22 Januari 2022. Foto laman web klia2.info
AGENDA NASIONAL

Himpunan #TangkapAzamBaki, polis lencong jalan utama ke Bangsar

SHAH ALAM, 22 JAN: Empat jalan utama ke Bangsar dilencongkan mulai jam 7 pagi ini susulan maklumat berkait himpunan mendesak ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditangkap.

Lokasi terlibat ialah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof ke Jalan Bangsar, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dalam kenyataan berkata operasi stesen MRT, LRT, monorail dan KTM juga dihentikan sementara pagi ini.

“Polis menerima maklumat mutakhir pada jam 11 malam dan info tular di media sosial bahawa terdapat beberapa individu dan pihak yang akan menganjurkan perhimpunan pada jam 11 pagi di LRT Bangsar.

“Saya menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di Kuala Lumpur, terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya merancang perjalanan dan urusan masing-masing,” katanya.

Semalam, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah larangan berhimpun di Dataran Merdeka, sekitar pusat beli-belah Sogo dan Masjid Jamek selama tujuh hari bermula Sabtu.

Perintah itu susulan ada pihak dikesan cuba menganjurkan perhimpunan #TangkapAzamBaki merujuk kepada Tan Sri Azam Baki, yang dijadual hari ini bawah jambatan LRT Bangsar.


Pengarang :