BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hubungi talian SELamat jika pasangan sekat kewangan, paksa bayar hutang

SHAH ALAM, 22 JAN: Individu yang disekat sumber kewangan atau dipaksa membayar hutang tanpa rela oleh pasangan disaran menghubungi talian SELamat.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata penderaan ekonomi selalunya tidak disedari kerana tidak disakiti secara fizikal.

“Contoh keganasan ekonomi adalah aspek kewangan dikawal, disekat sumber kewangan untuk membeli keperluan penting, dipaksa untuk melakukan atau membayar hutang tanpa kerelaan.

“Selain perlu melaporkan setiap perbelanjaaan dan duit yang digunakan, debit atau kredit kad diambil oleh pasangan dan dikawal,” katanya di Facebook.

Beliau berkata golongan yang memerlukan bantuan atau mengenali mereka yang perlu dibantu boleh menghubungi talian SELamat di 03-64195027.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama kumpulan sukarelawan.


Pengarang :