Selangorkini
Nor Hidayu Abd Wahab, 30, melihat gambar dan ijazah milik suaminya, Allahyarham Mohd Huzir Mohamed pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-12 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampung Gong Badak pada 24 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isteri kuatkan semangat hadir terima ijazah sarjana arwah suami

KUALA NERUS, 25 JAN: Perasaan gembira bercampur pilu mengiringi langkah Nor Hidayu Abd Wahab, 30, ketika naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah sarjana milik arwah suaminya, Mohd Huzir Mohamed pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-12 semalam.

Allahyarham Mohd Huzir yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada 2020, meninggal dunia tahun lepas akibat serangan jantung pada usia 35 tahun.

Menurut Nor Hidayu, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk hadir ke majlis konvokesyen tersebut kerana risau tidak dapat mengawal perasaan sebak ketika berada di atas pentas.

Bagaimanapun, atas sokongan keluarga, dia menguatkan semangat untuk hadir bagi menghargai hasil kerja keras dan usaha arwah suaminya dalam menamatkan pengajian.

“Walaupun sudah mempunyai pekerjaan selesa di jabatan kerajaan, arwah suami sangat berminat dengan ilmu dan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana tidak sampai sebulan selepas kami berkahwin pada 18 Ogos 2018.

“Beliau mempunyai impian untuk bergelar doktor falsafah sebelum usia 40 tahun, tetapi ternyata Allah lebih sayangkan dia,” kata Nor Hidayu yang tidak memiliki cahaya mata.

Sementara itu, seorang guru berbangsa Cina berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kontemporari Islam.

Ang John Sun, 55, berkata dia amat gembira dan bersyukur kerana dapat menamatkan pelajaran di peringkat tertinggi selepas dua kali tertangguh.

Selain itu, dia turut berasa lega kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya, Wee Mek Kwa yang mahu dia bergelar doktor falsafah bagi mendidik serta menjadi contoh terbaik kepada golongan muda.

“Percubaan menyiapkan PhD sebelum ini gagal kerana selain kesibukan sebagai seorang guru, saya juga perlu menjaga ibu bapa yang sakit.

“Hari ini saya rasa sungguh lega kerana dapat tunaikan harapan ibu yang memang sungguh-sungguh mahu saya bergelar doktor,” katanya yang juga ketua panitia bahasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Badak, Kelantan.

– BERNAMA


Pengarang :