Kenderaan yang membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memasuki Penjara Reman Pulau Pinang pada 9 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jabatan Penjara benar lawatan keluarga sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Jabatan Penjara membenarkan lawatan perjumpaan sempena sambutan Tahun Baru Cina ini kepada keluarga penghuni penjara mulai 3 hingga 7 Februari ini.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjumpaan boleh diadakan melalui dua pilihan iaitu secara bersemuka (intercom) untuk pelawat yang lengkap divaksin dan panggilan video.

“Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu sahaja.

“Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu melalui sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan melalui emel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pihak penjara akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan tidak lebih 30 minit, yang juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Kenyataan itu memaklumkan hanya dua pelawat sahaja dibenarkan dalam kalangan keluarga yang telah ditetapkan pihak penjara, manakala bagi pelawat warga emas berumur lebih 60 tahun, kebenaran diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Selain itu pelawat wajib mematuhi tatacara operasi piawai Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang telah ditetapkan semasa perjumpaan.

“Bagi kebenaran perjumpaan secara panggilan video sahaja, adalah terpakai bagi penjara jika negeri atau tempat berkaitan berada di luar PPN Fasa 4 semasa tarikh lawatan ini berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Selain itu perjumpaan secara bersemuka (Pusat Reintegrasi Penjara dan Sekolah Henry Gurney) perlu mematuhi Panduan Lawatan Perjumpaan Banduan/Tahanan/Penghuni Norma Baharu.

Orang ramai yang ingin berurusan diminta menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web Jabatan Penjara.

-BERNAMA


Pengarang :