Kerja menurunkan rasuk jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor yang retak selesai 5.30 pagi pada 12 Januari 2022. Foto Facebook JKR DAERAH KUALA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor dibuka, kerja turun rasuk jejantas siap sehari awal

SHAH ALAM, 12 JAN: Jalan persekutuan Sabak Bernam-Kuala Selangor antara simpang Jalan Permatang dengan simpang Jalan Bukit Belimbing kembali dibuka untuk semua kenderaan sejak 6 pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor memaklumkan pembukaan dibuat selepas bahagian rasuk rosak di jejantas berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang berjaya diturunkan.

“Kerja penurunan siap lebih awal daripada jadual asal. Kerja bermula dari 11 malam tadi dan siap pada 5.30 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu agensi menghargai usaha dilaksanakan konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd serta Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor yang membantu mengawal trafik sepanjang tempoh penurunan.

Terdahulu JKR daerah menjangkakan kerja penurunan rasuk jejantas itu selesai pada 6.30 pagi Khamis.

Semalam, JKR daerah mengingatkan pengguna kenderaan agar berhati-hati ketika melalui bawah jejantas pejalan kaki di laluan terbabit berikutan terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas ekoran hentaman kenderaan berat.


Pengarang :