Rekahan pada struktur rasuk jejantas di Laluan Persekutuan 5, Jalan Klang-Sabak Bernam ekoran hentaman kenderaan berat. Foto Facebook Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor ditutup, kenderaan diseru guna laluan alternatif

SHAH ALAM, 11 JAN: Jalan persekutuan Kuala Selangor-Sabak Bernam antara simpang Jalan Permatang dengan simpang Jalan Bukit Belimbing ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai 11 malam ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor menutup jalan bahagian itu hingga 6.30 pagi Khamis bagi menjalankan kerja menurunkan rasuk jejantas di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor.

“Penutupan jalan ini akan mengakibatkan gangguan lalu lintas kepada pengguna jalan raya pada tarikh dan masa yang dinyatakan.

“Pengguna diminta untuk mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan,” kata Jurutera Daerah Ir Nur Hafidzan Idris.

Kenderaan berat dinasihat menggunakan Jalan Sungai Terap melalui Jalan Raja Musa-Jalan Rawang 1, manakala kenderaan ringan pula menggunakan laluan Jalan Permatang-Jalan Bukit Belimbing.

“Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amatlah diharapkan,” katanya lagi dalam kenyataan hari ini seperti dimuatkan di Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kuala Selangor.

Semalam, JKR daerah mengingatkan pengguna kenderaan agar berhati-hati ketika melalui bawah jejantas pejalan kaki di laluan terbabit berikutan terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas ekoran hentaman kenderaan berat.


Pengarang :