Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian calitan ke dalam bekas ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangkitan baharu Covid-19 terus menurun, 2,641 kes dilapor hari ini

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Jangkitan Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan apabila 2,641 kes baharu dilaporkan hari ini daripada 2,888 kes semalam, menjadikan keseluruhan kes di negara ini kini 2,788,860.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 2,808 kes sembuh direkodkan setakat 12 tengah hari ini yang menyumbang kepada keseluruhan 2,717,422 individu pulih daripada wabak itu.

“Daripada jumlah kes harian dilaporkan hari ini, sebanyak 57 kes atau 2.2 peratus adalah Kategori Tiga, Empat, dan Lima manakala 2,584 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 253 kes sementara 106 kes memerlukan bantuan pernafasan dan terdapat empat kluster baharu turut dikesan hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan mengenai perkembangan wabak itu, hari ini.

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kini pada paras 0.98 dengan Labuan merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.19 diikuti Sabah (1.07), Kuala Lumpur (1.06), Melaka (1.03), Negeri Sembilan (1.02) dan Kedah (1.00).

Sementara itu, mengenai situasi banjir, Dr Noor Hisham berkata setakat 3 petang tadi, KKM mengesan hanya satu kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah keseluruhan kini 470 kes.

Beliau berkata KKM turut mengesan 23 penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi 10 kes penyakit kulit, sembilan kes Acute Gastroenteritis (AGE) dan empat Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI).

– BERNAMA


Pengarang :